Tuesday, July 31, 2007

WASILAH Utama Dalam Pembentukkan UMMAH

Rasulullah saw memulakan jihadnya melalui dakwah dan Tarbiyah, bukan terbentuk secara tiba-tiba atau kebetulan tanpa apa-apa persediaan dan pembentukan bahkan Rasulullah saw menghadapi berbagai kesukaran dan halangan dan terus berjihad sehingga terbentuk satu ummah yang terpuji sebagai Khaira Ummah di abadikan didalam Al-Quran.

Seperti di tegaskan dalam Al-Quran ayat 110 Surah Al Imran maksudnya:-

Kamu adalah sebaik-baik ummah dikeluarkan untuk manusia seluruhnya,
kamu memerintah (menyuruh) kepada ma'aruf dan mencegah mungkar serta
kamu tetap beriman kepada Allah'

Rasulullah saw mula berdakwah dan membentuk ummah sejak di zaman Makkah lagi. Baginda mendidik (mentarbiyah) sekumpulan jamaah mukminin yang menjadi benih terbentuknya masyarakat yang baru (berbeza daripada masyarakat jahiliyah). Ketika Rasulullah saw
membentuk jamaah mukminah di Makkah dimasa itu. Baginda menyedari bahawa peranannya lebih besar daripada Makkah dan Semenajung Arab dan Risalah yang Baginda bawa bukan semata-mata khusus untuk satu bangsa dan satu generasi bahkan Risalahnya bersifat sejagat
('Alamiyah) dan halatujunya menghapuskan jahiliyyah dan membina insaniah yang baru, menepati prinsip-prinsip Al-Quran dan ajarannya.

Ketika Baginda menjadikan kota Makkah sebagai markas dakwahnya, Baginda tidak memulakan dengan membentuk daulah yang terdiri dari pembesar-pembesar Quraisy bagi menundukkan seluruh orang Arab dan memaksa mereka menerima prinsip-prinsipnya dengan kekerasan. Baginda tidak melakukan demikian kerana Baginda bukan diutuskan untuk
menghapuskan kerosakan dengan mengundang kerosakkan lain dan bukan untuk memaksa masyarakat menerima dakwahnya dengan kekerasan tetapi Baginda diutuskan untuk menyampaikan Risalah Allah SWT dan mengajak semua manusia dengan penuh hikmah serta dengan peringatan-peringatan yang baik. Serta sabar bersama-sama orang-orang yang beriman
membentuk jamaah yang menjalankan kerja-kerja Islah agar mereka menjadi asas yang kukuh bagi kelahiran masyarakat (generasi) baru (Generasi Mukmin).

Rasulullah saw memberi penekanan kepada Tarbiyah Jiwa/ Dhomir / Al Wijdaan dan tarbiyah akhlak dan budi pekerti berteraskan keimanan/tauhid; kerana inilah asas sebenarnya bagi pembinaan ummah yang menjamin masyarakat dan Daulah daripada berlaku penyelewengan,
kezaliman dan kerosakan. Ilmu perlembagaan, dan undang-undang serta deen undang-undang serta peratusan semata-mata belum cukup untuk mcmbina ummah tanpa dididik jiwa dan akhlaq masyarakat.

Sehubungan ini Al Quran telah menegaskan dalam surah Al Ra' ad ayat 11, maksudnya"-

' Sesungguh Allah SWT tidak mengubah apa yang terdapat pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mngubah apa yang terdapat dalam jiwa mereka.'

Ustaz Mohd Syadid dalam kitabnya Al Jihad Fil Islam menjelaskan bahawa inilah jalan membentuk dan membina ummah serta membangunkan tamaddun dan kemajuan. Pengislahan masyarakat tidak akan sempurna melainkan di mulakan dengan jiwa masyarakat itu sendiri.... kerana itu maka medan Islam yang pertama ialah 'alam jiwa dan dhamir., dan wasilahnya yang pertama dan utama untuk sampai kepada matlamat ialah AtTarbiyah,.'

Wassalam.

Friday, July 20, 2007

Jendela Hikmah: Sikap ibu bapa antara punca anak lupa agama


SEORANG wanita mengajukan persoalan yang bermaksud kebanyakan wanita zaman sekarang lupa kepada agama. Adakah masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa? Saya lebih suka frasakan pernyataan itu kepada 'sebilangan umat Islam hari ini sudah lupa pada agama' kerana ia lebih saksama dan menggambarkan realiti sebenar.

Hakikatnya, bukan wanita saja yang lupa pada agama. Lelaki juga bahkan tanggungjawab mereka sebenarnya lebih berat kerana Allah meletakkan kelebihan kepada lelaki sehingga mereka menjadi pelindung kepada wanita.

Jika ramai wanita hari ini melupakan agama, sebahagiannya berpunca daripada lelaki yang juga meninggalkan agama sehingga mereka gagal melindungi wanita mereka daripada melanggar hukum agama.

Apakah gejala lupa kepada agama berpunca daripada kurangnya pendidikan ibu bapa? Pernyataan itu sebenarnya menggambarkan apa yang disebut Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani.”

Hadis ini menunjukkan jika anak membesar dengan corak akhlak atau pegangan hidup yang tertentu, ia boleh dikesan kepada pendidikan yang diterima daripada ibu bapa.

Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Sebelum anak dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika, sekolah dan peringkat lebih tinggi, anak mempelajari asas pembentukan pandangan hidup (akidah) dan sahsiah (keperibadian dan akhlak) daripada ibu bapa mereka. Inilah objektif pendidikan sebenar.

Pendidikan ialah menurunkan nilai sehingga lahir insan mempunyai pegangan hidup yang mantap dan jitu. Bagi umat Islam, nilai itu ialah nilai Islam yang berteraskan tauhid. Asas tauhid yang mantap menatijahkan tingkah laku, tutur kata dan tindakan didasarkan tuntutan syariat Islam.

Jika hari ini kita melihat anak perempuan dan lelaki mendedahkan aurat, bergaul bebas tanpa batas, terbabit dengan pelbagai gejala sosial, maka itu adalah natijah daripada pendidikan yang mereka terima di rumah - pastinya tidak menepati apa yang dikehendaki Islam.

Mereka mungkin terpelajar dan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik, tetapi itu bukan matlamat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar menguasai bidang teknikal dan akademik, tetapi lebih menjurus pemupukan nilai dan pembentukan akhlak.

Ia tidak bermakna Islam mengetepikan akademik kerana ia adalah bahagian penting daripada pembinaan kebudayaan dan tamadun, tetapi mesti diasaskan atas pendidikan tauhid yang mantap.

Beberapa kajian menunjukkan kesilapan mendidik anak pada peringkat awal (antara umur tiga hingga tujuh tahun) menyebabkan kecelaruan nilai dan keruntuhan akhlak pada peringkat umur 13 hingga 20 tahun.

Berdasarkan penilaian ini, masalah yang berlaku pada kelompok umur remaja sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal pendidikan. Siapakah yang bertanggungjawab pada peringkat umur di bawah tujuh tahun kalau bukan ibu bapa. Boleh kita simpulkan di sini ibu bapa menjadi satu daripada punca kepada sikap umat Islam yang melupakan agama mereka hari ini.

Pendidikan awal penting dan Rasulullah SAW berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh anak mendirikan sembahyang pada usia tujuh tahun. Ia bermakna pada umur itu anak tadi sudah patut menerima dan mematuhi suruhan agama.

Ia juga bermakna anak sudah terbiasa dengan suasana ibu bapa dan keluarga yang mendirikan dan mementingkan ibadat solat di rumah. Jika mereka tidak terbiasa melihat ibu bapa dan seisi keluarga mendirikan solat, bagaimana mungkin anak boleh meniru dan melakukan perbuatan sama.

Sebenarnya, ini juga satu isyarat bahawa pendidikan yang sebenar ialah dengan amal. Pendidikan hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal, bukan dalam bentuk kata-kata. Ia juga menunjukkan hanya ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam mampu mendidik anak dalam acuan dikehendaki agama.

Kemudian kita lihat Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa memukul anak yang masih meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun. Pengajarannya ialah apabila anak sudah berusia 10 tahun, nilai kehidupan sepatutnya sudah mewarnai jiwanya sehingga dia akan melakukan suruhan agama dan meninggalkan larangannya tanpa disuruh.

Jika masih meninggalkan solat pada usia itu, ia satu petanda nilai belum terbina dengan baik sehingga hukuman perlu digunakan bagi memperbetulkan keadaan.

Apabila anak memasuki umur baligh keadaan menjadi lebih sukar jika jiwa mereka tidak dipupuk dengan nilai yang berlandaskan syariat Islam.